Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah kayu di RKT Kesedar Paloh 3. FOTO Ihsan JBPM
Ramli Ibrahim


LIMA beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, Gua Musang musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari itu, suami isteri bersama tiga anak berusia 12 hingga 21 tahun keluar ke bandar ini untuk membeli pakaian sekolah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan 1.35 tengah hari.

Katanya, tujuh anggota dan pegawai diketuai beliau bersama tiga jentera bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, api masih marak membakar rumah kayu terbabit.

“Anggotanya mengambil masa 20 minit untuk mengawal api daripada merebak dan padam sepenuhnya 3.14 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Arifuddin Akif berkata, pihaknya mengambil masa untuk sampai ke lokasi selepas menerima panggilan itu kerana jauh daripada bandar Gua Musang.

Katanya, punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 9:41 PM