Hafidzul Hilmi Mohd Noor


MUHAMMED Yusoff Rawther selesai memberi keterangan selama tujuh jam di Bukit Aman bagi membantu siasatan dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadapnya oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammed Yusoff yang memberi keterangan bermula 2 petang diiringi peguamnya, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla, keluar pada 9.15 malam.

Mohamed Haniff berkata, keterangan Muhammed Yusoff

direkod oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kami memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan polis dengan memberi keterangan hari ini selepas dipanggil untuk proses itu.

“Hari ini sudah selesai memberi keterangan namun jika dipanggil lagi untuk memberi keterangan kami akan hadir,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman hari ini.

Kes Muhammed Yusoff disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Ditanya berhubung ancaman yang diterima Muhammed Yusoff, beliau berkata, setakat ini tiada sebarang ancaman diterima.

“Setakat ini tiada ugutan dan ancaman namun perkara ini kita perlu berwaspada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kita akan melihat keperluan untuk memanggil semula Muhammed Yusoff selepas siasatan dibuat,” katanya.

Kelmarin, Muhammed Yusoff yang membuat akuan bersumpah berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh Anwar, membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur.

Laporan itu bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpah yang dibuatnya itu.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan Muhammed Yusoff yang kononnya diperlakukan secara tidak senonoh oleh beliau 2 Oktober tahun lalu dan menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.

Berita berkaitan

'6 jam sudah berlalu...'

'Hantar notis tuntutan sekali lagi'

'Ini muslihat untuk jatuhkan imej saya'

Polis akan panggil Muhammad Yusoff Rawther

Anwar lapor polis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 9:53 PM
Muhammed Yusoff dan Mohamed Haniff keluar dari Bukit Aman selepas memberi keterangan 7 jam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali