Dua lagi PPS dibuka di Kota Tinggi menjadikan empat PPS dibuka sehingga 9 malam ini. FOTO Arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kota Tinggi menjadikan empat PPS dibuka sehingga 9 malam ini bagi menempatkan 729 mangsa daripada 165 keluarga yang terjejas berikutan banjir sejak semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi berkata, PPS ketiga dan keempat yang dibuka adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota dan Dewan Seri Teratai.

Katanya, SJKC New Kota dibuka 3.30 petang tadi adalah khas bagi menempatkan mangsa terjejas terdiri daripada Rohingya.

“Di SJKC New Kota, terdapat 12 keluarga dengan 60 mangsa membabitkan penduduk Taman Aman dan Taman Mawai yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, di Dewan Seri Teratai, 50 mangsa daripada 10 keluarga yang juga penduduk Kampung Sepak Hilir ditempatkan di PPS yang dibuka sejak 5 petang.

Pada masa sama, mangsa banjir di dua PPS terdahulu terus meningkat yang mana di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia, mangsa bertambah kepada 46 berbanding 19 membabitkan 13 keluarga berbanding lima sebelum ini.

Katanya, di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi pula, mangsa bertambah kepada 573 orang berbanding 20 ketika dibuka tengah hari tadi membabitkan 130 keluarga berbanding empat sebelum ini.

Pemantauan masih dijalankan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Kota Tinggi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Agensi lain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Penghulu Mukim dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 10:18 PM