Dr Mahathir bersama Dr Siti Hasmah diiringi Syed Hussian bergambar bersama produksi Ejen Ali The Movie. FOTO Eizairi Shamsudin
Dr Mahathir bersama Dr Siti Hasmah diiringi Syed Hussian bergambar bersama produksi Ejen Ali The Movie. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Hilmie Hussin


“DARI segi cerita, teknologi, muzik (adunan), saya rasa ini boleh dikata berkelas dunia.”

Demikian pandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap filem animasi Ejen Ali The Movie.

Beliau yang ditemui sejurus selepas menonton filem animasi itu di Pawagam Golden Screen Cinema (GSC) Pavilion berkata, menonton filem itu bagaikan menonton filem luar negara.

“Tak seperti Malaysia nampak setaraf dunia dan kita boleh bangga, saya puji,” katanya.

Dr Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hadir menonton filem animasi yang dihasilkan WAU Animation itu bersama kakitangan Pejabat Perdana Menteri dan Pengurusan Media Prima Berhad (MPB).

Turut memeriahkan sesi tayangan khas itu ialah Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Syed Hussin Al Junid dan Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP dan Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad, Mustapha Kamil Mohd Janor.

Dr Mahathir bersama Dr Siti Hasmah dan Syed Hussian menonton Ejen Ali The Movie malam ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Dr Mahathir bersama Dr Siti Hasmah dan Syed Hussian menonton Ejen Ali The Movie malam ini. FOTO Eizairi Shamsudin

Ejen Ali The Movie, filem animasi berdurasi 97 minit itu berjaya memungut RM13 juta selepas tujuh hari tayangan di 162 pawagam di seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Filem animasi itu turut mendominasi carta GSC Top 10 Movies selama empat hari berturut-turut, selain menjadi pilihan utama dalam kalangan penggemar filem.

Sebelum ini, Ejen Ali The Movie mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta, pada hari pertama tayangan, 28 November lalu.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mengisahkan Ali, budak berusia 12 tahun yang direkrut menjadi penyiasat di agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Ali ditugaskan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik timbul apabila Ali mengetahui dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa iaitu Infinity Retinal Intelligence System (IRIS).

Gajet itu diubahsuai menjadi IRIS Neo, perkakasan yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen lain.

Inovasi baharu itu dipersoalkan Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Pada saat itu, Ali didatangi individu misteri yang mendakwa tahu kisah silamnya.

Jadi, bermulalah pengembaraan Ejen Ali demi membongkar kebenaran biarpun kesetiaannya terhadap MATA teruji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 12:10 AM