YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di London untuk melakukan lawatan khas di United Kingdom dari 9 hingga 16 Disember.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada 6.30 petang waktu tempatan pada Isnin (9 Disember) (2.30 pagi Selasa, waktu Malaysia).

Ketibaan pasangan diraja itu disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Mohamad Sadik Kethergany dan Vice Lord-Lieutenant of Bedfordshire Kolonel Chris Sharwood-Smith.

Dalam kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan, lawatan itu melambangkan kepentingan memelihara hubungan dua hala yang dijalin sejak sekian lama antara Malaysia dan UK, terutama antara kerabat diraja kedua-dua negara.

Di London, Seri Paduka berdua berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang akan dihoskan Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada Khamis (12 Disember).

Sultan Abdullah juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Lord Archbishop of Canterbury Justin Welby untuk bertukar-tukar pandangan berhubung masyarakat pelbagai bangsa dan agama di kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, atur cara lawatan Seri Paduka berdua juga termasuk menghadiri majlis santapan malam dengan komuniti Malaysia di London dan melawat Perpustakaan British.

Al-Sultan Abdullah juga akan diberi penghormatan untuk menerima tabik hormat pada perbarisan bersempena istiadat pentauliahan diraja anakanda baginda Pemangku Raja Pahang​​, Tengku​​​​ Hassanal Ibrahim Alam Shah di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada Jumaat (13 Disember).

Al-Sultan Abdullah pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

Lawatan khas ke UK adalah lawatan keempat oleh Al-Sultan Abdullah selepas lawatan khas Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lepas sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari.

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong akan melakukan lawatan ke Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) Biro Dunia dan bangunan Associated Country Women of the World di London.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 9:26 AM