Mary Victoria Dass


MENARUH harapan bergelar isteri, ibu tunggal kerugian RM380,000 akibat diperdaya seorang lelaki dikenalinya di Facebook, sejak tahun lalu.

Lebih malang, wanita itu terpaksa menjual rumahnya di Pasir Gudang dan meminjam wang dari adik-beradik untuk tujuan berkenaan.

Episod hitam Lee, 50, (bukan nama sebenar) bermula sebaik menerima panggilan telefon yang memintanya menjelaskan bayaran kerana barangan dikirim kenalan Facebooknya itu dikatakan ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) pada 6 November 2018.

“Pada awal perkenalan kami, dia ada maklumkan mahu memberi saya pelbagai barangan berupa cincin, gelang, baju dalam, berlian, jam tangan dan dua iPhone yang keseluruhannya bernilai RM800 juta.

“Beberapa hari selepas itu, saya menerima panggilan daripada seorang ejen kastam yang memaklumkan barangan itu ditahan dan hanya boleh diserahkan sekiranya saya membayar wang sebanyak RM5,000 menyebabkan saya membuat pembayaran berkenaan.

“Saya kemudiannya diminta beberapa kali untuk melunaskan bayaran lain, sehingga pemanggil maklumkan yang ‘suami’ saya juga ditahan dan akan dibebaskan sekiranya membuat pembayaran lanjut,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Stulang di Johor Bahru, hari ini.

Lee yang menganggap lelaki itu sebagai suami walaupun tidak pernah bersua muka berkata, dia kemudian melakukan lebih daripada 10 transaksi pemindahan wang menerusi pelbagai bank yang mana kali terakhir pembayaran bernilai RM95,000, empat bulan lalu.

Dengan statusnya yang tidak bekerja, Lee berkata, semua wang digunakannya adalah hasil pinjaman daripada adik-beradik dan jualan rumahnya di Pasir Gudang.

“Saya dapatkan wang dengan menjual rumah berharga RM230,000 dan meminjam wang lain daripada kakak sebanyak RM100,000 untuk membebaskan ‘suami’ seperti diminta seorang lelaki menerusi panggilan telefon itu.

“Sekarang saya sudah tidak mempunyai wang lain dan terpaksa tinggal bersama adik lelaki di rumahnya,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 12 tahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen berkata, pihaknya membawa wanita berkenaan membuat laporan polis kerana percaya dia ditipu sindiket penipuan dalam talian.

“Saya berpendapat ini adalah satu kes yang serius, ia membabitkan kerugian wang tunai bernilai hampir RM400,000 dan sememangnya ia jumlah yang amat besar.

“Saya harap perkara ini boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mudah percaya dengan orang yang baharu dikenali. Saya juga kasihan dengan wanita ini kerana dia masih menganggap lelaki itu benar-benar wujud,” katanya.

Andrew berkata, berdasarkan maklum balas polis, siasatan yang dilakukan adalah dibawa kes Love Scam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 3:49 PM
LEE (kanan) menunjukkan wajah kenalan Facebook yang menghilangkan diri selepas berhabis RM380,000 terhadap lelaki yang dianggapnya suami, sejak tahun lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin