SHAMSUL Iskandar (kanan) menggesa Lembaga Disiplin PKR mengenakan tindakan tegas terhadap Zuraida.


LEMBAGA Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengambil tindakan tegas dan keras terhadap Naib Presidennya, Zuraida Kamarudin.

Cadangan itu dibuat Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dalam satu kenyataan, hari ini.

“Saya akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin untuk mengambil tindakan tegas dan keras terhadap Zuraida kerana perkara yang dilakukan beliau jelas melanggar etika dan disiplin parti,” katanya.

Menurutnya, tindakan Zuraida tidak boleh diterima, apatah lagi dilakukan seorang pemimpin kanan parti yang seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada anggota parti lain.

Gesaan beliau itu berikutan Zuraida pada majlis makan malam ‘Wawasan Kemakmuran Bersama’ di sebuah hotel di ibu negara, kelmarin, dikatakan menghina beberapa pemimpin PKR antaranya Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi MPN (Majlis Pimpinan Negeri) Perak, Farhash (Wafa Salvador Rizal Mubarak).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Utama menegaskan, ia adalah jelas melampau dan terkeluar daripada landasan adab dan akhlak.

“Serangan beliau kepada keperibadian Fahmi dan Farhash adalah sangat mendukacitakan serta tidak menunjukkan perilaku selayaknya sebagai seorang menteri.

“Saya turut difahamkan bahawa dalam majlis itu, Zuraida juga dengan bongkaknya membongkar beberapa perkara yang kononnya perbualan beliau dengan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Ini satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan Presiden adalah satu amanah yang perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Anwar,” katanya.

Media melaporkan, Zuraida pada ucapannya di majlis makan malam itu, menyasarkan beberapa nama pemimpin parti yang menjadi penyokong kepada Anwar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dilaporkan menyatakan Fahmi sebagai ‘budak hingus’ berikutan tindakannya yang bertanya mengenai kehadiran dirinya pada mesyuarat parti.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar akui, selesai Kongres Nasional PKR di Melaka, Ahad lalu, dengan jelas menunjukkan suatu pergeseran dalaman parti sedang berlaku, namun perkara itu sedaya upaya cuba diselesaikan Anwar.

“Namun begitu, saya amat terkejut dengan kenyataan beberapa pemimpin kanan pada majlis makan malam ‘Wawasan Kemakmuran Bersama’.

“Saya percaya majlis makan malam ini sememangnya dirancang lebih awal dan diadakan bagi menggantikan ‘Kongres Renaissance’ yang terpaksa dibatalkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 10:54 PM