AB Rashid (kanan) bersama pegawainya bergotong-royong membersihkan Balai Polis Kuala Jambu yang dinaiki air banjir.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: “Setiap sejam kami meredah banjir untuk melihat bacaan di stesen bacaan paras air yang terletak 50 meter (m) dari balai,” kata Koperal Tuan Ahmad Amali Tuan Hin.

Beliau yang juga pemangku Ketua Balai Polis Kuala Jambu berkata, pemeriksaan paras air secara manual terpaksa dibuat pada hari pertama banjir berikutan ada sedikit gangguan sistem untuk memantau paras air Sungai Golok yang meningkat.

Katanya, dia dan 10 lagi anggota bertugas bergilir-gilir mengharung air sehingga paras 0.7 meter yang mula memenuhi persekitaran balai untuk memeriksa paras air.

“Siren di stesen bacaan mula berbunyi kira-kira jam 6 pagi menandakan air sudah melepasi paras amaran.

“Sebelum itu, pintu pagar utama yang menghubungkan Kampung Kuala Jambu dengan Jalan Kesban sudah kami buka untuk laluan alternatif penduduk kampung menyelamatkan diri,” katanya.

Tuan Ahmad berkata, sepanjang seminggu banjir melanda, dia dan beberapa anggota lelaki berkampung di bilik mesyuarat dalam pekarangan balai kerana ruang balai dipenuhi air sehingga 0.5m.

Katanya, operasi di balai berjalan seperti biasa kerana alat komunikasi dan dokumen penting sudah dipindahkan ke bilik mesyuarat yang dibina lebih tinggi dalam pekarangan balai itu.

“Bot juga disediakan sebagai keperluan jika bantuan kami diperlukan dalam operasi pemindahan mangsa banjir,” katanya.

Terdahulu, balai polis itu mengadakan gotong royong membersihkan kesan lumpur dan sampah sarap akibat banjir dihadiri Ketua Polis Daerah, Superintendan Ab Rashid Mat Daud.

Ab Rashid berkata, selain Balai Polis Kuala Jambu, Balai Simpangan juga terbabit banjir, namun situasinya hanya terkepung.

“Setiap tahun ketika banjir, Balai Polis Kuala Jambu sering terjejas kerana terletak di sebelah Sungai Golok dan memgambil masa beberapa hari untuk surut.

“Operasi di balai ini berjalan seperti biasa namun tidak banyak menerima aduan kerana kami menyediakan tiga pangkalan di sepanjang Jalan Kesban untuk rujukan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 5:40 AM