TIMBALAN Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairil Izhar Noraazmi (dua dari kiri) memberi penerangan kepada anggotanya dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia mencari dua mangsa yang hilang di laut.
Zuliaty Zulkiffli


YAN: “Saya yakin abang dan adik lelaki masih hidup, tetapi mungkin sudah hilang tenaga kerana lama di laut.

“Kalau sesiapa jumpa mereka, maklumkan segera kepada pihak berkuasa atau kami supaya urusan menyelamat dipermudahkan,” kata Ng Shwu Yi, 41.

Shwu Yi tidak jemu menunggu abangnya, Ng Goh Xian, 43, dan adiknya, Ng Goh Tong, 34, di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sala sejak kelmarin untuk mengetahui perkembangan lanjut nasib abang dan adiknya.

Sebelum ini dia hanya menunggu di pelantar ikan di seberang jalan tempat bot adiknya berlabuh untuk mengetahui laporan mengenai mereka.

“Kali terakhir saya jumpa mereka Jumaat lalu jam 8 pagi sebelum mereka bertolak dari rumah ibu dan ayah di Kampung Jemerlang.

“Sebelum itu abang ada cakap, cuaca tak elok, tapi selepas tengok ada bot nelayan di laut, dia dan adik mahu turun juga ke laut sehingga mereka gagal dikesan hingga hari ini,” katanya, semalam.

Sementara itu, operasi hari ketiga mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik yang hilang di laut itu masih diteruskan.

Pengarah Zon APMM Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, setakat ini belum ada sebarang petunjuk dan mangsa masih belum ditemui.

Beliau berkata, operasi semalam diteruskan jam 7 pagi membabitkan pelbagai aset termasuk dua bot daripada APMM iaitu Bot Kilat 7 dan Kilat 26.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 6:00 AM