TERTUDUH diiringi polis selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. FOTO Nurul Fhatihah Zakinan.
Nurul Fhatihah Zakinan


PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mencederakan dan mengugut untuk membunuh serta menyimbah asid terhadap isterinya, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Saliheen Bakar, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa empat anak itu didakwa sengaja mencederakan isterinya berusia 32 tahun menggunakan rotan di bilik tidur rumah mereka di Kampung Padang Temu, pada 2 pagi, 17 November 2019.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengugut untuk membunuh dan menyimbah asid terhadap wanita berkenaan yang juga pembantu kedai makan di lokasi dan waktu yang sama.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim yang menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh diikat jamin oleh isterinya sahaja.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan.

Norma kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan selain mengarahkannya untuk tidak mendekati mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 1:41 PM