Kotak rokok dan tiub syabu yang dirampas daripada seorang lelaki di Jalan Masjid di Bintulu hari ini. Foto Ihsan PDRM
Erika George

PASUKAN Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bintulu menahan seorang lelaki warga asing kerana memiliki syabu seberat 9.35 gram dengan anggaran nilai RM1,350 di Jalan Masjid di Bintulu hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu Deputi Superintendan Jame Reis berkata, suspek yang merupakan penganggur berusia 32 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pegawai BSJND kemudiannya memperkenalkan diri untuk menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki itu.

Katanya, suspek bertindak agresif dengan cuba melarikan diri sambil membuang kotak rokok tetapi tindakan pantas pasukan itu berjaya menahannya

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas suspek dan kotak rokok yang dibuangnya ke lantai itu menemui dua plastik lutsinar dan dalamnya terdapat tujuh keratan tiub penyedut minuman warna hijau berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadapnya turut mengesahkannya positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang dari tiga dan tidak lebih lima kali sebatan.

Katanya, kes berkenaan juga akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan pengawasan selama dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 2:52 PM