KEADAAN kemalangan di Kaikoura, New Zealand, Jumaat lalu, yang mengorbankan empat beranak. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ANAK bongsu pasangan yang meninggal dunia akibat kemalangan di New Zealand, Nur Arifah Bahiyah Adanan, 11, masih dalam pemantauan doktor.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo berkata, keadaannya pada hari ini adalah semakin baik dan masih menjalani rawatan di Hospital Wellington.

“Keluarganya akan membawa pulang ke Malaysia selepas dibenarkan keluar dari wad dan disahkan cergas.

“Setakat ini doktor masih belum memberi tarikh bila dia akan dibawa pulang,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, empat sekeluarga yang maut akibat kemalangan jalan raya di New Zealand, Jumaat lalu selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery, Christchurch pada 12.30 tengah hari waktu tempatan atau 7.30 pagi semalam, waktu Malaysia.

Jenazah Dr Rumihati Abdul Hamid, 49; suaminya Adanan Jeman, 49, dan dua anak mereka, Nur Irfan, 15, serta Nur Aleeyah Maisarah, 13, sebelum itu disembahyangkan di Masjid Christchurch, New Zealand.

Solat jenazah turut disertai abang Allahyarham Dr Rumihati, Othman Abd Hamid dan beberapa ahli keluarga bersama Persatuan Muslim Centerbury dan komuniti masjid setempat.

Pada Jumaat lalu, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia, manakala dua lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan maut ketika keluarga itu bercuti di New Zealand.

Mereka sekeluarga menaiki kereta sewa sebelum terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, Kaikoura, pada 3.10 petang waktu tempatan atau 8.10 malam waktu Malaysia.

Tiga yang disahkan maut ketika kejadian ialah Dr Rumihati; 49, suaminya, Adenan Jeman, 49, dan seorang anak mereka, Nur Aleeyah Maisarah, 13.

Seorang anak mereka, Nur Irfan, 15, yang parah dalam kejadian itu, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Christchurch, Ahad lalu.

Berita berkaitan

Empat beranak selamat dikebumi

Empat beranak dikebumikan esok

Empat beranak akan disemadi bersama

  • Seorang lagi meninggal dunia
  • Keluarga mangsa kemalangan tiba di New Zealand
  • Rumihati adalah doktor kami [METROTV]
  • Mahu kebumi 3 beranak di Christchurch
  • Wisma Putra sah mangsa sekeluarga
  • 3 warga Malaysia maut kemalangan di New Zealand
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 3:38 PM