ZUL Hisham yang juga menantu Zahid Hamidi hadir pada perbicaraan kes dihadapi bapa mentuanya itu, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Sarah Zulkifli


MENANTU kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, bahawa dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM1.3 juta digunakan untuk membayar gaji pemain Persatuan Bola Sepak PDRM yang tertunggak selama empat bulan.

Saksi pendakwaan ke-14 itu yang juga bekas pengurus pasukan PDRM Datuk Zul Hisham Zainal berkata, beliau menerima cek Affin Bank Berhad bernombor 526570 daripada pekerja Yayasan Akalbudi pada 19 November 2015.

“Saya mula terbabit secara tidak langsung dengan Persatuan Bola Sepak PDRM pada sekitar 2014 dan hanya bertindak di belakang tabir atas dasar minat.

“Pada kebiasaannya, Asisten Superintendan Nizam Mohd Noor akan memohon bantuan daripada saya mengenai penajaan kewangan luar dari bajet yang telah dibentangkan atau yang dipohon,” katanya ketika membacakan penyataan saksi dalam perbicaraan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Zul Hisham yang juga Pengarah Urusan di Syarikat Titanium Technology Sdn Bhd berkata, terdahulu, Nizam menghubunginya meminta bantuan kewangan untuk membayar gaji pemain Persatuan Bola Sepak PDRM yang tertunggak.

“Dalam perbualan itu, Nizam menyatakan bahawa jumlah RM 1.3 juta adalah untuk bayaran gaji pemain dan urusan pentadbiran persatuan.

“Bagaimanapun, saya tidak ingat sama ada terdapat surat atau kertas kerja yang dihantar untuk tujuan permohonan ini,” katanya.

Ahmad Zahid yang ketika itu memegang jawatan Menteri Dalam Negeri kemudian dimaklumkan berkaitan permohonan Persatuan Bola Sepak PDRM itu.

Menurut saksi sama, beliau kemudian menerima satu sampul surat yang mengandungi cek berjumlah RM1.3 juta daripada pekerja Yayasan Akalbudi dan menghubungi Nizam bagi menyerahkan cek di lokasi yang tidak diingati.

Dalam prosiding itu, Zul Hisham turut memaklumkan mahkamah sepanjang menjadi menantu kepada Ahmad Zahid, beliau tidak pernah mengetahui bahawa bapa mentuanya itu mempunyai Yayasan Akalbudi ataupun mana-mana yayasan.

“Saya baru sahaja mengetahui bahawa salah seorang pengarah yang berada di dalam Yayasan Akalbudi adalah bapa mentua saya iaitu Ahmad Zahid,” katanya.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-20, Nizam yang juga Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak PDRM berkata, dana atau penajaan bagi menguruskan pasukan diperoleh daripada pelbagai sumber.

“Pada 2014, Persatuan Bola Sepak PDRM berada di bawah naungan Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Ahmad Zahid dan penajaan diuruskan Zul Hisham memudahkan cara antara persatuan dan Ahmad Zahid.

“Kebiasaannya pihak persatuan akan menerima dana atau tajaan sumbangan berbentuk cek dan Zul Hisham akan memaklumkan kepada pihak persatuan bahawa cek sedia atas nama Persatuan Bola Sepak PDRM,” katanya.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak PDRM.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 3:55 PM