ROKIAH Lehin ketika menemani suaminya Abd Aziz Yunus yang menerima rawatan di Hospital King Abdullah, Jeddah akibat komplikasi jantung dan buah pinggang, ketika menunaikan umrah November lalu. FOTO Ihsan Keluarga
Abnor Hamizam Abd Manap


“AMAT besar harapan kami mahu ayah dibawa pulang ke Malaysia bagi membolehkan rawatan susulan dilakukan di sini,” kata Mohd Faizal Abd Aziz.

Mohd Faizal, 35, adalah anak kepada Abd Aziz Yunus, 63, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital King Abdullah di Jeddah, akibat komplikasi jantung dan buah pinggang ketika menunaikan umrah.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia dan ahli keluarga lain sedang mengumpul wang selain mengharapkan sumbangan rakyat negara ini bagi mencukupkan jumlah RM200,000 seperti diperlukan.

Menurutnya, ayah bersama ibu, Rokiah Lehin, 59, yang menetap di FELDA Raja Alias 1 di Jempol, berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah pada 8 November lalu.

“Hari kelima berada Madinah, ayah mengadu tidak sihat dan dibawa ke klinik untuk rawatan. Ketika itu ayah cuma demam dan beransur pulih sebelum berangkat ke Mekah.

“Tiga hari kemudian, ayah sekali lagi mengalami masalah kesihatan dan dimasukkan ke Hospital King Abdullah. Disebabkan keadaan ayah yang masih stabil ketika itu, doktor membenarkan ayah pulang ke Malaysia mengikut jadual penerbangannya pada 18 November lalu.

“Bagaimanapun satu jam sebelum penerbangan berlepas, ayah secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan terpaksa dikejarkan ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berikutan itu, Mohd Faizal berkata, dua adiknya kini berada di Jeddah menemani ibu menjaga ayah yang kini dilaporkan kritikal disebabkan komplikasi jantung serta buah pinggang kerana penyakit diabetes.

“Usaha membawa ayah pulang ke Malaysia memerlukan perbelanjaan yang tinggi kerana perlu menggunakan pesawat khas dengan kos dianggarkan lebih RM200,000,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Faizal merayu bantuan dan mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 019-5965649 atau menyalurkannya melalui akaun Maybank 152031713176.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 4:37 PM