Zatul Iffah Zolkiply

TUKANG kebun dihukum penjara selama empat tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik lelaki.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh, Mohd Sabarudin Zulkifli, 35, diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (B) dan 14 (D) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 13 tahun di dalam stor di belakang sebuah sekolah di daerah ini pada 23 November lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun di lokasi sama pada 10 Ogos lalu.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan.

Anggota polis mengiringi Mohd Sabarudin selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap dua beradik. Foto Rozainah Zakaria
Anggota polis mengiringi Mohd Sabarudin selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap dua beradik. Foto Rozainah Zakaria

Bagaimanapun, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 25 November lalu diikuti hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan dua beradik lelaki berdepan detik hitam selepas mendakwa menjadi mangsa liwat seorang lelaki gila seks.

Perbuatan terkutuk lelaki itu terbongkar selepas kedua-dua mangsa membuat laporan polis selepas tidak tahan menjadi tempat pemuas nafsu songsang tukang kebun berkenaan sebelum menceritakan kejadian itu kepada bapa saudara mereka.

Mangsa berusia 13 tahun membuat laporan pada 25 November lalu manakala abangnya membuat laporan pada keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 4:42 PM