MOHAMED Riduan di pusara bayinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan di HSNZ, Kuala Terengganu. FOTO ihsan Mohamed Riduan Mohamed.
Hanneeyzah Bariah Baharin


LELAKI dari Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu terkilan apabila mendakwa kecuaian pihak hospital menyebabkan bayi pramatang dilahirkan isterinya meninggal dunia, kelmarin.

Coretan Mohamed Riduan Mohamed @ Asari, 35, di laman sosial Facebook kini tular dan dia mendakwa kematian bayinya seberat 1.1 kilogram (kg) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), adalah akibat kelewatan isterinya menerima rawatan, berikutan masalah dokumen ketika pendaftaran.

Mohamed Riduan berkata, bayi dilahirkan secara songsang di Unit Kecemasan HSNZ pada 8.27 pagi Ahad lalu, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan otak tahap empat pada 3.31 petang Isnin lalu.

“Kami tiba di hospital pada 8 pagi Ahad dan ketika itu air ketuban isteri sudah lama pecah sejak 7 pagi ketika di rumah. Isteri saya ditempatkan di katil pada bahagian kecemasan dan tidak ditolak ke bilik prosedur rawatan bersalin kerana tiada dokumen.

“Sejak tiba di hospital pihak pendaftaran hospital asyik bertanya maklumat peribadi dan dokumen pengenalan diri serta buku merah, sedangkan waktu itu bahagian badan bayi saya sudah terkeluar secara songsang dan ia menyebabkan isteri lewat mendapat rawatan.

“Dalam keadaan cemas melihat keadaan isteri di rumah, memang saya tidak sempat untuk memikirkan soal dokumen. Selang hampir setengah jam kemudian barulah bayi saya dilahirkan pada 8.27 pagi.

“Bayangkan berapa lama bayi tersangkut dan implikasi boleh menimpa anak dan isteri saya. Begitu mudah pihak hospital bermain dengan nyawa isteri dan anak saya,” katanya.

Beliau berkata, doktor pakar yang ditemui memaklumkan keadaan anaknya kritikal apabila berlaku pendarahan dalam kepala tahap empat.

“Saya dimaklumkan pada hari pertama, pendarahan di kepala anak saya itu sudah di tahap dua. Persoalannya, mengapa hal ini tidak dimaklumkan kepada saya pada hari pertama dia dilahirkan sedangkan ia sudah dikesan doktor.

“Pada hari pertama mereka hanya maklumkan bahagian bawah pusat hingga ke pinggang anak saya yang kebiruan dan perlu dipantau,” katanya.

Mohamed Riduan berkata, dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan memohon pihak hospital mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu, termasuk menyiasat kakitangan didakwa menyebabkan isterinya lewat mendapat rawatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan rapi berhubung kematian bayi kelahiran pramatang di HSNZ, kelmarin.

Beliau berkata, dalam situasi kecemasan, perawatan akan diberikan sebagaimana standard digariskan tanpa perlu menunggu proses pendaftaran pesakit selesai.

“Penjelasan berkaitan keadaan bayi dan risiko komplikasi kelahiran pramatang sudah dimaklumkan ketika perjumpaan bersama bapa selepas kelahiran bayi itu, iaitu pada 10 pagi Ahad lalu.

“Penjelasan lebih lanjut sudah diberikan Pakar Neonatologi kepada ibu bapa bayi itu pada 1 tengah hari kelmarin, selepas beberapa siri ujian dan pemeriksaan lanjut dibuat ke atas bayi kelahiran pramatang itu.

“JKNT mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa simpati kepada kedua-dua ibu bapa terbabit dan berharap pihak keluarga diberikan ruang privasi oleh semua pihak pada masa sukar ini.

“Orang ramai dipohon untuk tidak menimbulkan spekulasi tanpa merujuk kepada sumber maklumat yang sahih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 4:50 PM