Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menumpaskan Geng Ah Teong yang aktif melakukan kegiatan curi kenderaan mewah dengan penahanan sembilan ahlinya dalam serbuan berasingan menerusi Operasi Lejang bermula 25 November hingga 4 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi itu dijalankan laporan daripada seorang lelaki berusia 68 tahun yang memaklumkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire miliknya hilang di Taman Bukit Maluri, Kepong, pada 6 November lalu.

“Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan polis membuat serbuan menerusi Operasi Lejang pada 25 hingga 28 November lalu yang membawa kepada penahanan seorang lelaki di Melaka.

“Hasil soal siasat dilakukan terhadap lelaki terbabit, kami menahan enam lelaki lagi dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki Indonesia berusia 25 hingga 53 tahun pada 2 hingga 4 Disember lalu.

“Penahanan itu termasuk ketua kumpulan berkenaan dikenali sebagai Ah Teong yang berusia 38 tahun.

Mazlan (kanan) menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas daripada Geng Ah Teong ketika sidang media di IPD Sentul hari ini. Foto Mustaffa Kamal

“Dalam serbuan yang dilakukan di ibu kota ini, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Kelantan itu, kami berjaya menemukan 17 kenderaan mewah dipercayai dicuri dianggarkan bernilai RM5 juta,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya turut merampas peralatan digunakan kumpulan berkenaan untuk mencuri kenderaan termasuk pengatur cara kekunci elektronik (electronic key programmer).

“Modus operandi kumpulan ini adalah mengenal pasti kenderaan mewah yang disasarkan dan meletakkan sistem pengesanan global (GPS) pada kenderaan berkenaan.

“Sebaik kenderaan itu didapati parkir di kawasan lapang atau sunyi, suspek akan menggunakan pengatur cara kekunci elektronik untuk menghidupkan enjin selain mematikan GPS sedia ada pada kenderaan berkenaan bagi mengelak ia dikesan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 20 kes yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan sejak mereka aktif melakukan kegiatan terbabit pada Mei lalu.

“Semakan mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah termasuk seorang daripadanya dikehendaki bagi siasatan kes curi kenderaan.

“Usaha mengesan baki ahli kumpulan ini sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur ditalian 03-21460670 atau Hotline Polis Kuala Lumpur, 03-21159999.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 5:35 PM