AHMAD Zahid hadir pada Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Kuala Lumpur. Muhd Zaaba Zakeria
Sarah Zulkifli


SUAMI kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K disebut ketika perbicaraan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Saksi pendakwaan ke-21, Ketua Pegawai Eksekutif, Armada Holdings Sdn Bhd (Armada Holdings), Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad, 50, mendedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk K adalah kenalan rapat Ahmad Zahid.

Menurut Wasi, Datuk K adalah individu yang memperkenalkan beliau dengan Ahmad Zahid mengenai perniagaan syarikatnya, Armada Holdings yang mengimport, membekal dan pengedar arang batu sebagai sumber tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Pada 2015, syarikat saya memerlukan modal berbayar RM10 juta bagi memenuhi syarat minimum berdaftar sebagai pembekal arang batu Indonesia untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

“Namun, syarikat saya tidak mempunyai modal sebanyak ini di dalam akaun,” katanya ketika membacakan penyataan saksi.

Mengulas lanjut, saksi sama berkata, berikutan itu, beliau menghubungi kawannya termasuk Datuk K bertujuan meminjam wang bagi modal itu.

“Pada asalnya, saya meminta pertolongan Datuk K untuk mengatur pertemuan dengan Ahmad Zahid dengan harapan dapat mengurangkan jumlah modal daripada RM10 juta kepada RM5 juta saja.

“Datuk K kemudian bersetuju membantu dan mengajak saya berjumpa dengan Ahmad Zahid yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, beliau bersama-sama dengan Datuk K pergi ke pejabat Ahmad Zahid di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya dan pertemuan kali pertama itu berlangsung lebih kurang 20 minit.

“Saya bertanya pendapat Ahmad Zahid mengenai pengurangan modal berbayar syarikat dalam projek ini daripada RM10 juta kepada kadar lebih rendah, namun beliau tidak boleh campur tangan dalam urusan dan polisi TNB yang sudah ditetapkan.

“Namun, beliau mencadangkan untuk mengaturkan dari segi kewangan untuk tempoh yang singkat,” katanya yang memaklumkan sebulan selepas itu beliau dijemput oleh Ahmad Zahid di Taman Tasik Titiwangsa dan menyuruhnya datang ke Parlimen keesokan harinya dan beliau kemudian berbuat seperti diminta.

Wasi berkata, ketika pertemuan kali kedua, pegawai Affin Bank menyerahkan cek berjumlah RM10 juta dan selepas menerima cek itu, beliau berjumpa semula dengan Ahmad Zahid.

“Ahmad Zahid memberi tempoh sebulan untuk saya membayar semula pinjaman ini dan selepas meneliti butir-butir maklumat cek bernilai RM10 juta dikeluarkan ke atas nama Armada Holdings.

“Di dalam cek itu tercatat Yayasan Akalbudi ... sebelum ini Ahmad Zahid tidak ada memaklumkan kepada saya bahawa wang pinjaman yang diberikan kepada pihak saya adalah daripada Yayasan Akalbudi,” katanya.

Menurut saksi itu, apabila dimaklumkan bahawa wang itu adalah duit anak yatim dan orang miskin dan pihak bank memberikan faedah sebanyak 4 peratus untuk simpanan tetap, beliau berniat membayar balik pinjaman berserta faedah atas inisiatif beliau sendiri.

“Selang sebulan selepas dari tarikh pinjaman itu, saya membayar semula pinjaman ini kepada Yayasan Akalbudi serta faedah sebanyak RM69,722.65,” katanya.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 6:23 PM