Ahmad Faizal (tengah) dan Wan Saiful bergambar bersama pelajar yang menerima sumbangan. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia mempertimbang cadangan mana-mana pihak untuk melihat badan itu berfungsi dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ia termasuk menimbang cadangan yang dikemukakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mahu PTPTN ditutup bagi memastikan ia tidak dibebani hutang yang akhirnya memberikan beban kepada rakyat.

“Sebenarnya daripada segi liabiliti sekarang ini tanggungan kita (PTPTN) memang besar (kira-kira RM54 bilion) dan saya mengalu-alukan cadangan yang diberikan semua pihak termasuklah AMK dan juga pimpinan parti komponen Pakatan Harapan.

“Kita akan pertimbangkan semua cadangan dan apa yang kita lakukan adalah menyalurkan cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mana keputusan akhirnya akan dibuat oleh KPM dan juga kabinet.

“Walaupun terdapat pelbagai cadangan yang diterima, kita akan terima, kita proses, kita angkat dan kita tunggu keputusan sewajarnya daripada pihak atasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Kembali Ke Sekolah PTPTN di Laman Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional AMK 2019 minggu lalu berkata, hutang lapuk PTPTN, jika terus diwarisi, berkemungkinan besar akan melangkaui hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dipetik berkata, berdasarkan unjuran, hutang PTPTN akan meningkat menjadi RM76 bilion dalam masa 20 tahun dan atas sebab itu, AMK akan terus menjadi suara pendesak dalam memastikan PTPTN dimansuhkan dan digantikan dengan cara yang lebih holistik dan mapan.

Wan Saiful berkata, apa yang boleh dilakukan PTPTN ketika ini adalah dengan memastikan kempen penabungan berjalan lancar dan langkah itu akan diteruskan supaya kebergantungan rakyat kepada hutang dapat dikurangkan.

Katanya, PTPTN cuba mendekatkan rakyat dan menegaskan PTPTN adalah agensi yang penting dalam memastikan modal insan negara terpelihara dengan cara merakyatkan PTPTN dan itu akan terus menjadi fokus.

Beliau berkata, walaupun demikian PTPTN akan tetap menerima cadangan pelbagai pihak untuk dipertimbangkan dan diangkat, namun ia tertakluk kepada keputusan pihak atasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 6:44 PM