GAMBAR hiasan.
Mahaizura Abd Malik


SYARIKAT perkhidmatan penghantar makanan, GrabFood mengumumkan kenaikan kos penghantaran antara RM5 hingga RM9 bagi setiap pesanan bermula Isnin lalu.

Jurucakap GrabFood berkata, peningkatan itu dilakukan GrabFood dalam usaha mereka meluaskan radius penghantaran bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk memesan makanan dari pelbagai pilihan restoran.

“Caj penghantaran pesanan kami tetapkan antara RM5 hingga RM9 bergantung kepada jarak restoran.

“Keputusan ini dibuat selepas pengurusan GrabFood mengambil pertimbangan jarak perjalanan jauh perlu ditempuhi penghantar GrabFood,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, caj penghantaran pesanan dari restoran pada jarak kurang atau masih dalam lingkungan lapan kilometer (km) kekal pada kadar RM5.

Menurutnya, caj RM6 pula dikenakan bagi pesanan dari restoran berjarak sekitar 8 hingga 10km sementara RM7 untuk pesanan dari kedai makan berada dalam lingkungan 10 hingga 12 km.

Setahun selepas pelancarannya, Grab Malaysia mengumumkan perkhidmatan GrabFood akan diperluaskan di luar Lembah Klang.

Perkhidmatan penghantaran makanan akan diperkenalkan ke Pulau Pinang, Melaka, Johor Baru, Kuching dan Kota Kinabalu apabila pelanggan boleh menggunakan platform berkenaan untuk memesan dari kedai makanan pilihan.

Mengenai platform itu, Grab Malaysia mengumumkan aplikasi GrabFood yang berdiri sendiri akan digabungkan dengan aplikasi Grab menjadikannya lebih mudah untuk menguruskan di bawah satu bumbung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 7:01 PM