Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan menyebabkan seorang maut. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


ISTERI Pengurus FELDA Palong 14, 15 dan 16, maut manakala anak perempuannya cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan berhampiran FELDA Jaya Selatan, Jempol hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Norihan Manah, 44, parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa memandu Proton Perdana dari arah Bandar Seri Jempol menuju Bahau.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, Proton Saga BLM dari arah Bahau ke Bandar Seri Jempol mengelak kenderaan mangsa manakala Proton Saga FLX yang mengekori di belakang kereta itu tidak sempat mengelak dan bertembung dengan kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan kemalangan itu, Mohd Hafiz berkata, mangsa maut di tempat kejadian manakala anak perempuannya berusia 13 tahun cedera pada muka.

“Turut cedera pemandu Proton Saga FLX iaitu lelaki berusia 28 tahun.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Jempol untuk rawatan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 9:48 PM