NOR Azila Mohammad membantu Rahimi sambil dilihat ibunya Rokiah Mohammad (kanan) ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Binjai, Bayan Lepas.
Hadzlihady Hassan


GEORGETOWN: Kesakitan akibat kesan tembakan tidak dapat digambarkan, lebih memeritkan pada satu tahap ubat tahan sakit yang dimakan langsung tidak memberi kesan.

Itu keperitan ditanggung jurutera robotik Rahimi Ahmad, 39, rakyat Malaysia yang terselamat dalam tragedi tembakan meragut 50 nyawa di masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu.

Akibat kejadian itu, kaki kanan Rahimi tidak dapat bergerak dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Sakit tu, kadang-kadang kaki rasa kebas, rasa kaki hilang, saya tak tahu nak gambarkan kerana ada kalanya kaki tak rasa tapi sakit rasa...tak boleh nak cakap macam mana.

“Mungkin orang ingat saya normal, boleh berbual namun itu sebenarnya cara saya menghilangkan kesakitan ditanggung kerana pakar menasihati tidak bergantung kepada ubat penahan sakit.

“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk bersembang, berjalan, selain turut mendapatkan rawatan tradisional. Alhamdulillah, cara itu dapat mengurangkan kesakitan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Binjai, Bayan Lepas dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu Rahimi turut berkongsi cerita akibat tragedi itu yang ternyata meninggalkan pelbagai kesan buatnya dan anak lelaki, Ahmad Razif, 11.

Menurutnya, dia mengambil kesempatan pulang ke negara ini Ogos lalu bersama isteri dan anak-anak untuk bertemu ahli keluarga selain menunaikan umrah untuk memberikan motivasi kepada dirinya dan anak.

“Kesan trauma yang dihadapi masih dirasai setiap kali saya menunaikan solat Jumaat di masjid ketika sebulan saya berada di negara ini lebih-lebih lagi ketika imam atau khatib membaca khutbah.

“Ketika khutbah dibaca, saya akan rasa seperti ada orang nak datang...Namun perasaan itu lama kelamaan lenyap sendiri dan kini saya boleh menunaikan solat Jumaat tanpa rasa bimbang,” katanya yang pulang ke New Zealand November lalu.

Ditanya sama ada dia boleh semula mengunjungi masjid tercetusnya tragedi hitam itu ketika pulang ke New Zealand, Rahimi berkata, dia belum mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian.

“Saya pernah pergi bersama isteri, namun hanya duduk dalam kereta selama 10 minit, tak mampu turun... Bila cuba turun perasaan trauma mula menghantui dan rasa sakit juga tiba-tiba datang.

“Anak lelaki saya langsung tidak mahu menjejakkan kaki ke masjid itu.

“Dia juga tidak mahu mendengar atau mengenang kisah hitam itu jika ada orang memintanya menceritakan kembali kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:50 AM