ZULKARNAIN memeriksa ketelusan cahaya pada kenderaan bercermin gelap di Stesen Penguatkuasa Air Sejuk, Setiu, semalam.
Norizuan Shamsuddin


PERMAISURI: Saman tetap dikenakan terhadap pemilik kenderaan cermin gelap yang tidak mematuhi spesifikasi sekiranya kereta miliknya dipandu individu lain ketika ditahan penguat kuasa.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, tindakan tegas diambil terhadap pemilik kenderaan cermin gelap yang tidak mematuhi spesifikasi sekiranya kenderaan mereka dipandu individu lain selain saman dikeluarkan terhadap pemandu.

“Untuk kesalahan cermin gelap, kita akan keluarkan saman mengikut kesalahan cermin gelap yang dilakukan. Contohnya pemandu melakukan tiga kesalahan cermin gelap iaitu cermin sebelah pemandu, cermin sebelah penumpang hadapan dan cermin depan, jadi tiga saman akan dikeluarkan terhadap pemandu.

“Sekiranya pemandu ketika itu bukan pemilik kenderaan, saman akan dikeluarkan juga kepada pemilik menjadikan enam saman iaitu tiga saman kepada pemandu dan tiga saman kepada pemilik,” katanya pada sidang media Operasi Khas Cermin Gelap di Stesen Penguatkuasaan JPJ Air Sejuk di sini, semalam.

Menurutnya, operasi bersepadu yang dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah inisiatif penguatkuasaan secara bersama bagi agensi yang menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, operasi dilakukan di tiga lokasi iaitu di Jalan Paka-Dungun, di hadapan Stesen Penguatkuasaan Kemaman dan Air Sejuk bermula jam 9 pagi kelmarin hingga jam 1 tengah hari, semalam.

“Operasi ini membabitkan 83 pegawai dan anggota termasuk PDRM dan JIM.

“Hasilnya, 781 notis dikeluarkan termasuk 338 saman kesalahan cermin gelap dan sebanyak lima kenderaan disita.

“Sepanjang dua hari operasi khas ini, kita dapati kategori kenderaan yang paling banyak diberi notis saman membabitkan kesalahan cermin gelap adalah kenderaan persendirian terutama kereta mewah.

“Tahap peratusan kenderaan yang paling tinggi dapat dikesan dalam operasi ini bagi kadar ketelusan cahaya masuk adalah tujuh peratus dan purata kenderaan cermin gelap diambil tindakan adalah membabitkan ketelusan kurang daripada 30 peratus iaitu membabitkan cermin sisi pemandu serta sisi penumpang hadapan,” katanya.

Zulkarnain turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya termasuk membabitkan spesifikasi ditetapkan bagi ketelusan cermin kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 6:00 AM