LAPORAN portal Harian Metro
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


DUA beradik yang maut dalam kebakaran di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Parit Buntar, awal pagi tadi, kemungkinan terperangkap akibat tidak menemui kunci pintu jeriji.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, berdasarkan penemuan mayat mangsa di pintu utama dan pintu ruang tamu, pihaknya yakin kedua-dua mangsa cuba keluar untuk menyelamatkan diri ketika kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal dan keadaan mayat mangsa, kami yakin kedua-dua mereka cuba menyelamatkan diri, namun berkemungkinan tidak menjumpai kunci pintu jeriji rumah mereka.

“Mayat pertama dijumpai di pintu utama, manakala mayat kedua dijumpai di kawasan pintu ruang tamu, dan keadaan mayat itu dalam keadaan melecur antara 70 hingga 80 peratus dan turut terdapat kesan pendarahan pada anggota badan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, dua beradik warga emas, Aisah Din, 78, dan adiknya, Ida, 56, yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui maut dalam kebakaran rumah mereka.

Azmi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan turut menanti pasukan unit anjing pengesan (K9) dari ibu negara bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca kebakaran.

Terdahulu, Azmi turut meluangkan masa bertemu ahli keluarga kedua-dua mangsa dan menzahirkan ucapan takziah kepada mereka.

Hadir sama, EXCO kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Munaim.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi berkata, mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar pada 5 pagi tadi.

Berita berkaitan

Jeritan pilu dua beradik OKU

Dua beradik OKU meninggal dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 12:30 PM