BERNAMA

DUA lelaki dan seorang wanita ditahan di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara, Kuala Lumpur Isnin lalu, selepas didapati menanam pokok ganja dalam rumah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 24 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan polis hasil risikan dan maklumat orang awam.

Katanya polis merampas 54 pokok ganja setinggi tiga hingga empat kaki, daun ganja seberat 2.6 kilogram dan 48 biji benih ganja dalam serbuan di unit itu yang kesemuanya bernilai kira-kira RM1.21 juta.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka telah melakukan aktiviti menanam itu selama enam bulan dengan menggunakan proses hidroponik, iaitu konsep berkebun tanpa guna tanah dalam unit kediaman tersebut,” katanya dalam sidang media di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman sehingga Isnin depan untuk siasatan.

Katanya, turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Vios bernilai RM45,000 dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menanam ganja dan Seksyen 39B akta sama kerana mengedar dadah.

Sementara itu, dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan pada Selasa lalu, Khalil berkata, polis berjaya merampas syabu seberat 17,522 gram, 23,606 biji pil ekstasi dan 1,001 gram serbuk MDMA yang dianggarkan bernilai RM2.22 juta.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan menyita sebuah motosikal jenis Modenas D400 bernilai RM12,000 dalam serbuan antara 1.30 tengah hari sehingga 2.30 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan Selangor itu.

Katanya, serbuan dilakukan susulan daripada rampasan 10 bungkusan plastik mengandungi 10,000 gram dadah disyaki syabu pada 21 Nov lepas oleh polis Petaling Jaya, Selangor.

“Bungkusan tersebut dipercayai untuk dihantar ke Sabah melalui perkhidmatan kurier dan susulan daripada itu, polis telah melakukan serbuan Selasa lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 1:27 PM
MOHD Khalil berucap di hadapan 43 orang sekatan pada majlis Nurture For Betterment di IPK Pulau Pinang, hari ini. FOTO Danial Saad.