Mohamad Amin (tengah) didakwa atas lapan pertuduhan meminta dan menerima rasuah. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


SEORANG Majistret dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas lapan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM295,000 sejak Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Amin Shahul Hamid, 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa meminta rasuah sebanyak RM185,000 dan menerima rasuah RM110,000 pada 5 Julai hingga 22 Oktober lalu daripada, Hassan Basri Sutan Modo.

Tertuduh melakukan kesalahan itu sebagai dorongan untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara dan hanya mengenakan denda terhadap Hassan Basri yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok seludup yang bernilai RM6,613.20 di Mahkamah Majistret Kuala Lipis.

Tertuduh yang memakai baju kemeja putih lengan panjang meminta dan menerima rasuah berkenaan antara jumlah RM10,000 hingga RM100,000 di beberapa lokasi di Lipis dan Raub.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana paling tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Roslan Mat Nor, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azharul Ab Talib.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dan meminta mahkamah mempertimbangkan kesalahan tertuduh yang dianggap serius.

“Tertuduh adalah anggota perkhidmatan awam dan perlakuan tertuduh itu memberi gambaran yang tidak sewajarnya terhadap perkhidmatan kehakiman.

“Jika jumlah jaminan yang diberikan terlalu rendah, tertuduh berpotensi untuk tidak memenuhi jaminan berkenaan atau melarikan diri daripada hadir ke mahkamah,” kata Roslan.

Bagaimanapun Mohd Azharul merayu jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh tidak akan melarikan diri untuk membersihkan namanya melalui perbicaraan, selain jaminan yang tinggi seolah-olah menghukum anak guamnya yang masih belum dibuktikan bersalah.

“Penjamin tertuduh, iaitu abangnya tidak berpendapatan tinggi dan bekerja sebagai guru di pusat tuisyen dan mempunyai beberapa tanggungan.

“Saya faham kes ini dianggap sebagai kes berprofil tinggi, namun saya mohon ia tidak dijadikan alasan untuk mahkamah meletakkan jumlah jaminan tinggi, malah tertuduh juga masih berkhidmat sebagai penjawat awam iaitu sebagai Timbalan Pendaftar di Istana Kehakiman, Putrajaya,” katanya.

Mohd Ghazali kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 1:47 PM