FOTO Hiasan
BERNAMA

AKIBAT memuat naik hantaran jelik bersifat menghina Nabi Muhammad SAW, seorang penganggur didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zahrein Zakariah, 37, selepas dia mengaku bersalah atas perbuatan yang dilakukan melalui aplikasi Facebook miliknya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zahrein dengan secara sedar didakwa telah memulakan penghantaran menggunakan laman Facebook, membuat komunikasi jelik yang mengandungi antaranya perkataan yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Hantaran yang dibuat dengan niat untuk menyakiti hati orang lain itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, pada 9.30 malam, 8 Julai lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara yang boleh sampai satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, peguam LA Gomes memohon mahkamah mengenakan hukuman rendah berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya sudah insaf, selain berjanji tidak akan memuat naik hantaran bersifat jelik di masa akan datang.

“Anak guam saya memuat naik hantaran itu kerana ingin memulakan perbincangan di media sosial dan sekarang telah dipadam,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abdul Hadi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan penduduk di Malaysia agar lebih sensitif dan berhati-hati ketika ingin menyuarakan pendapat di media sosial.

“Hantaran yang dibuat telah dibaca oleh ribuan orang dan telah mendatangkan kemarahan kepada umat Islam di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 1:53 PM