MANGSA yang cedera selepas ditetak dengan parang oleh tiga lelaki. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad


PENGUTIP besi buruk cedera selepas ditetak dengan parang oleh tiga lelaki dalam kejadian di sebuah kedai makan di Pekan Padang Serai, Kulim, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam, mangsa yang berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan serius dan dibawa ke Hospital Kulim bagi rawatan lanjut.

Bagaimanapun, motif kumpulan lelaki itu menyerang mangsa belum diketahui dan difahamkan siasatan masih dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, mangsa dikatakan dikejar dan diserang oleh sekumpulan lelaki sebelum mangsa ditetak menggunakan parang.

“Akibatnya, mangsa mengalami luka sepanjang kira-kira tujuh sentimeter di bahagian bahu serta lengan tangan kiri dan kanan.

“Susulan itu seorang jurukimpal berusia 37 tahun dan tukang masak berusia 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka masing-masing ditahan sekitar Kulim kira-kira 1 hingga 1.30 pagi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Safuan berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga Isnin ini dan motif kejadian masih dalam siasatan.

“Polis masih mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan polis meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:20 PM