KEMALANGAN yang mengakibatkan seorang lelaki maut, tiga lagi cedera di Kilometer 16, Jalan Jerantut-Temerloh. FOTO Roselan Ab Malek
KEMALANGAN yang mengakibatkan seorang lelaki maut, tiga lagi cedera di Kilometer 16, Jalan Jerantut-Temerloh. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


SEORANG terbunuh, manakala tiga lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Jerantut-Temerloh di Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, pemandu kereta Proton Wira, Kamle Abdul Jalil, 36, yang beralamat di Kampung Paya Luas meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian dada.

Ibu mangsa, Rosnani Yasin, 62, yang juga penumpang hadapan kereta itu patah tangan sebelah kiri akibat kemalangan terbabit.

Dua lagi mangsa yang cedera membabitkan pasangan suami isteri dari Felda Jengka 13, K Perumal, 71 dan M Saraja , 61, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Sorento.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Wira dari arah Jerantut menuju ke Temerloh dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, pemandu Naza Sorento pula dari arah Temerloh cuba mengelak dan terlanggar bahagian hadapan kenderaan terbabit.

“Pemandu Wira meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan.

“Siasatan lanjut akan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 7:32 PM
Digital NSTP Subscribe