Muhammad Apendy Issahak


SEMUA 680 warga China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 20 November lalu di Cyberjaya kerana dipercayai terbabit kegiatan atas talian akan didakwa esok dan Isnin ini.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, siasatan terhadap semua warga China itu sudah selesai dan pertuduhan akan dijalankan esok di Mahkamah Sesyen Sepang.

“Pertuduhan akan dibuat dua kali kerana jumlahnya terlalu ramai dengan separuh akan didakwa esok dan selebihnya Isnin,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru Raya, di Ipoh malam ini.

Menurutnya, siasatan terhadap tangkapan di Cyberjaya itu turut mendapati tiada pembabitan ‘orang dalam’ atau pegawai JIM.

“Operasi pembanterasan kegiatan atas talian membabitkan warga China setakat ini menghasilkan 941 tangkapan iaitu 680 orang di Cyberjaya 20 November lalu; 104 tangkapan di Sabah 26 November lalu; 52 tangkapan di Sarawak 29 November lalu dan terbaru pada 9 dan 11 Disember lalu di Ipoh iaitu 105.

“Sebaik selesai proses pendakwaan, semua yang ditahan ini akan diusir ke negara asal mereka dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya juga sudah berhubung dengan Kedutaan China di Malaysia yang memberikan kerjasama serta mengharapkan semua tangkapan didakwa dan beliau percaya semua warga China itu akan dikenakan tindakan di negara mereka.

“JIM juga akan bekerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada agensi lain terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan yang lain,” katanya.

Terdahulu dalam sidang media itu, Khairul Dzaimee mendedahkan satu lagi kejayaan penahanan 65 warga China termasuk empat wanita yang dipercayai melakukan kegiatan menggunakan modus operandi sama di bandar raya Ipoh semalam.

Menurutnya, kejayaan terbaru itu adalah susulan daripada penahanan 40 warga negara sama pada Isnin lalu di Jalan Tun Dr Ismail di sini dan serbuan semalam membabitkan dua rumah semi D tiga tingkat di Gerbang Maju Rapat, Ipoh.

“Operasi dijalankan 19 pegawai JIM Perak bermula 3.30 petang semalam dan berakhir 5.30 petang dengan serbuan di rumah pertama berjaya menahan 35 warga China termasuk dua wanita.

“Serbuan di rumah kedua menahan 30 warga negara sama termasuk dua wanita yang keseluruhan tangkapan di kedua-dua kediaman itu adalah berusia 17 hingga 55 tahun,” katanya.

Menurutnya, setakat ini siasatan tangkapan di Ipoh belum dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan kumpulan yang diberkas di Cyberjaya namun kemungkinan itu ada kerana penemuan resit pembelian barang makanan dari Kuala Lumpur selain menggunakan modus operandi sama iaitu menjadikan rumah kediaman sebagai pusat panggilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 11:55 PM
Khairul Dzaimee (dua kanan) menunjukkan warga China termasuk empat wanita yang ditahan dalam serbuan JIM Perak. FOTO Muhaizan Yahya