PENGURUS Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Ahmad Shaari (kiri) menyampaikan sumbangan wakalah zakat kepada penerima pada Program Kasih Peladang Sabah di Sandakan. FOTO Poliana Ronnie Sidom
Poliana Ronnie Sidom


SERAMAI 100 penerima asnaf peladang dari empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) iaitu Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Tongod menerima sumbangan wakalah zakat sebanyak RM200 seorang.

Wakalah zakat itu disampaikan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Ahmad Shaari menerusi Program Kasih Peladang dianjurkan NAFAS di Sandakan, petang semalam.

Ketika berucap, Ahmad menjelaskan, program itu membabitkan 10 lokasi di seluruh negara dengan seramai 5,000 penerima mendapat manfaat dan sebelum ini, ia dilaksanakan di Johor, Kedah, Perlis, Pahang, Kelantan serta Selangor.

Beliau juga menyeru agar ahli peladang yang berkemampuan di Sabah meningkatkan jumlah pelaburan saham mereka dalam dana NAFAS agar menerima pulangan zakat yang lebih tinggi.

“Jumlah pulangan zakat kepada ahli adalah berdasarkan kepada saham yang dipegang di peringkat negeri dan jika pegangan saham yang dilaburkan ahli rendah, pulangan zakat adalah lebih kecil.

“Pegangan saham di Sabah masih rendah dan sebab itu, apabila kita nisbahkan pulangan zakat, angkanya kecil,” katanya.

Ahmad berkata, setakat ini, dana itu berjumlah RM160 juta hasil pelaburan kira-kira 920,000 ahli peladang di seluruh negara.

Jelasnya lagi, dana terbabit diwujudkan oleh NAFAS untuk memberi peluang kepada ahli peladang melabur, sekali gus membolehkan pertubuhan itu mencari sumber perniagaan yang boleh membawa pulangan kepada peladang.

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut menjelaskan NAFAS merancang untuk meneroka perniagaan baharu yang boleh menjana pendapatan peladang di seluruh negara dengan antaranya termasuk menjadi pengeluar kepada makanan utama iaitu tanaman padi serta dalam sektor penternakan.

“Kita berharap perniagaan baru nanti yang akan diumumkan NAFAS seperti melihat kepada konteks menjadi pengeluar makanan utama dan usaha mengembangkan lagi perniagaan kepada penternakan dan akhirnya, ahli peladang dapat peluang untuk teroka bidang perniagaan berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 9:32 AM