Sebahagian warga China yang ditahan dalam serbuan di Cyberjaya. FOTO Arkib NSTP.
Balqis Jazimah Zahari


POLIS akan mengumpul maklumat dan membuat serbuan berkualiti membabitkan kumpulan warga China yang menjalankan kegiatan atas talian dan dikesan sudah bertapak di Perak termasuk aktiviti penipuan dan perjudian.

Ketua Polis Perak, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan menugaskan untuk mendapatkan maklumat risikan bukan hanya di kawasan bandar raya Ipoh sahaja tetapi turut mensasarkan kawasan lain di Manjung, Taiping dan daerah lain.

“Polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum ini ada membuat tangkapan terhadap kumpulan warga China yang menjalankan kegiatan jenayah secara atas talian, maka kita melihat bahawa kumpulan terbabit sudah mula bertapak di negeri ini.

“Kita juga mempunyai maklumat dan akan meneruskan membuat tangkapan bagi memastikan bahawa tiada lagi kegiatan seperti ini di Perak,” katanya ketika ditemui di program Ujian Kemahiran Menembak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 di Lapang Sasar PDRM, Jalan Tembak di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan semua Ketua Polis Daerah (KPD) mengambil inisiatif untuk mengumpul maklumat dan membuat serbuan yang berkualiti walaupun kegiatan jenayah dilakukan kumpulan terbabit mensasarkan mangsa di China.

“Kita tahu bahawa kegiatan ini mensasarkan warga China sahaja tetapi kita akan tetap mengambil tindakan selain memastikan tiada kegiatan perjudian atas talian yang mensasarkan orang tempatan,” katanya.

Razarudin berkata, dalam kejayaan terbaru menumpaskan sindiket perjudian atas talian yang juga didalangi warga China, pihaknya membuat serbuan di sekitar Lahat di sini, petang semalam.

Menurutnya, dalam serbuan 6 petang itu berjaya menahan 18 suspek termasuk empat wanita warga China berusia 20-an dan sebanyak 46 telefon bimbit, 16 komputer riba serta wang tunai RM734 turut dirampas.

“Berdasarkan siasatan awal, kumpulan terbabit dipercayai menjalankan kegiatan menjurus kepada perjudian atas talian yang mana mensasarkan mangsa warga China,” katanya.

Razarudin berkata, aktiviti itu dipercayai sudah aktif sejak dua minggu lalu dan kes kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu sidang media di Ibu Pejabat JIM Perak di Kompleks Kementerian Dalam Malaysia (KDN), Meru Raya di sini malam tadi mendedahkan seramai 941 warga China ditahan dalam operasi dijalankan bermula 20 November lalu di beberapa kawasan termasuk di Ipoh.

Beliau memaklumkan seramai 680 tangkapan di Cyberjaya pada 20 November lalu; 104 tangkapan di Sabah pada 26 November lalu; 52 tangkapan di Sarawak pada 29 November lalu dan terbaru pada 9 dan 11 Disember lalu di Ipoh Perak iaitu seramai 105.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 12:49 PM