Siti A’isyah Sukaimi


SERAMAI 373 warga China yang ditahan pada Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia, dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan memasuki dan berada di negara ini tanpa pas sah.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 321 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Seramai 290 dipenjara selama empat bulan bermula tarikh tangkapan iaitu 20 November lalu, manakala mahkamah memerintahkan 31 tertuduh yang lain membayar denda RM5,000 dan diusir segera ke negara asal.

Sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda itu, mereka diperintahkan menjalani hukuman penjara tambahan empat bulan.

Pendakwaan diketuai oleh Ketua Pegawai Pendakwa, V Kasthuri Bai serta pegawai pendakwa, Suhaimi Abdullah, Nazwan Hassan, Asrizal Azman, Rueben Raj, Fadzil Shahabudin dan Ayunis.

Semasa prosiding itu, semua tertuduh terbabit berusia 23 hingga 38 tahun membabitkan 356 lelaki dan 28 wanita diasingkan kepada 10 kumpulan.

Tertuduh dibawa masuk ke mahkamah mengikut kumpulan berikutan jumlah yang ramai dan berlangsung hampir tiga jam bermula 8 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai warga China didapati memasuki dan berada di negara ini tanpa pas yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 20 November lalu, 3.30 petang di Malaysian House Of Internet Sdn Bhd, Wisma Mustapha Kamal, Jalan Usahawan, Lingkaran Cyber Point Barat di Sepang.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 yang mana sekiranya disabitkan boleh dihukum di bawah seksyen dari akta yang sama.

Mengikut hukuman bagi kesalahan ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah bertanggungan tidak lebih daripada enam sebatan.

Terdahulu, Kasthuri berkata, pihaknya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran supaya menjadi iktibar kepada pendatang asing.

“Kami juga memohon mahkamah mengambil kira keseriusan kesalahan yang mana tertuduh ditangkap di dalam satu premis Internet.

“Keberadaan mereka di dalam premis itu adalah meragukan iaitu semata-mata mencari nafkah di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hakim Tengku Shahrizam turut menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi 52 warga China untuk pengesahan pasport.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, seramai 680 warga China ditahan Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya.

Menerusi laporan itu, semua mereka ditahan kerana disyaki anggota sindiket penipuan pelaburan dalam talian termasuk tukaran matawang asing atau forex.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 1:29 PM
SEBAHAGIAN daripada 373 warga China yang ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini, atas pertuduhan memasuki dan berada di negara ini secara haram. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor