Foto Hiasan
Foto Hiasan

DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini terhadap pertuduhan memiliki senapang dan peluru curi pada Ogos lalu di Simpang Pertang, Jelebu.

Juru pendawaian elektrik, M Surendran, 32, dan peniaga Chia Yit Fui, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut pertuduhan, mereka secara tidak jujur menyimpan selaras ‘shotgun’ jenis Benelli dan dua butir peluru yang dipercayai harta curi di No 108 Taman Sri Pertang, Simpang Pertang, 6 pagi pada 19 Ogos lalu.

Keduanya didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala kedua-dua tertuduh diwakili Jayaprakash Rao.

Terdahulu, Jayaprakash memohon mahkamah membenarkan ikat jamin paling minimum terhadap Surendran yang bekerja sebagai juru pendawaian elektrik dan Yit Fui pula seorang peniaga kerana mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 23 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 2:55 PM