MICHAEL (kanan) bersama mangsa menunjukkan gambar cat merah disimbah pada surau dan kereta di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Amirudin Sahib.
Khairul Najib Asarulah Khan


CAT merah disimbah di surau di Kampung Paya Rumput, Melaka pada 3 Disember lalu didakwa angkara sindiket ceti haram dari Singapura.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, kejadian itu berlaku apabila lelaki berusia 30 tahun yang juga penduduk kawasan berkenaan ingin memohon pinjaman kewangan.

Menurutnya, lelaki yang bekerja di Singapura sebagai jurujual itu ingin meminjam RM90,000 selepas tertarik dengan tawaran pinjaman diterima menerusi WhatsApp tiga bulan lalu.

“Selepas memberi maklumat peribadi, dia dikehendaki membayar wang beberapa kali untuk proses pinjaman itu sehingga mencecah RM12,600.

“Akibat rasa tertipu disebabkan masih tidak menerima wang pinjaman berkenaan lelaki itu nekad tidak meneruskan pembayaran proses terbabit,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Michael berkata, berang dengan tindakan mangsa, sindiket itu yang dipercayai mempunyai kerjasama dengan sindiket tempatan menyimbah cat di surau berkenaan pada 3 Disember lalu.

Beliau berkata, selain itu, mereka turut menampal salinan kad pengenalannya bagi menimbulkan kemarahan penduduk dan mengugut mangsa supaya meneruskan pembayaran.

“Sindiket itu menyimbah cat di kereta penduduk kampung dan meletakkan butiran peribadinya pada 7 Disember lalu disebabkan dia masih enggan memberi wang.

“Bagi melindungi diri selain mengelak tohmahan dia (mangsa) tampil membuat laporan polis di Singapura pada November lalu dan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor baru-baru ini,” katanya.

Michael berkata, pihaknya khuatir tindakan sindiket yang menjadikan rumah ibadat sebagai lokasi sasaran akan menyebabkan berlaku salah faham.

Katanya, buat masa ini, rakan mangsa sudah berjumpa dengan pengurusan surau bagi menerangkan situasi itu termasuk membersihkan kesan cat berkenaan.

“Saya nasihatkan mereka yang ingin meminjam wang supaya pergi ke agensi kewangan berlesen dan berdaftar dengan pihak berkaitan,” katanya.

Beberapa gambar kesan simbahan cat merah itu yang tular di laman sosial turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.

Harian Metro pada 4 Disember lalu melaporkan, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 3:34 PM