FOTO Hiasan
Shamsul Munir Safini


MASUK ke Malaysia atas alasan menziarahi keluarga, namun berniaga sambil meraih simpati.

Itu modus operandi tiga wanita warga Thailand yang diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang selepas dikesan berniaga makanan ringan di hadapan beberapa bank di negeri ini.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, mereka kerap masuk ke Malaysia dengan alasan untuk menziarahi saudara.

“Namun kesempatan itu digunakan untuk berniaga dan menagih simpati masyarakat dengan mengharapkan derma yang dihulurkan.

“Taktik tiga wanita warga Thailand yang berusia antara 28 dan 47 tahun berkenaan bagaimanapun berjaya dikesan sebelum diberkas,” katanya.

Muhamad Husni berkata, ketiga-tiga mereka diberikan kemudahan Pas Lawatan untuk masuk ke negara ini dan ketika pemeriksaan, mereka sedang menjual keropok di kaki lima beberapa lokasi tumpuan orang ramai termasuk bank.

“Tangkapan dilakukan hasil aduan orang awam yang curiga dengan pertuturan mereka.

“Mereka ini diberkas di kaki lima Maybank, Bank Simpanan Basional (BSN) dan Bank Rakyat yang terletak di Bandar Perda,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati mereka meraih pendapatan hasil jualan keropok berjumlah RM50 selain mampu memperoleh sumbangan sehingga RM150 hasil sedekah orang ramai yang bersimpati dengan keadaan uzur mereka.

“Masyarakat mungkin akan bersimpati dan beranggapan bahawa mereka ini tidak perlu ditangkap, mungkin hanya perlu diberikan amaran.

“Saya ingin tegaskan bahawa JIM tidak akan berkompromi tentang soal kedaulatan dan keselamatan negara lebih-lebih lagi apabila ada aduan yang dibuat, ” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 39(b) yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Katanya, JIM juga akan mengesan dalang atau pihak ketiga yang menguruskan aktiviti dijalankan ketiga-tiga wanita terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 3:47 PM