LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS melawat lokasi di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam yang didakwa Muhammed Yusoff Rawther sebagai lokasi kejadian cabul membabitkan Presiden PKR itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, lokasi itu termasuk ruang tamu dan bilik seperti dalam akuan bersumpah di buat Mohamad Yusoff.

“Lawatan ke tempat kejadian itu adalah sebahagian daripada siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Lawatan mengambil masa kira-kira 30 minit. Lokasi tempat dilawat adalah seperti akuan bersumpah (Muhammed) Yusoff Rawther,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya tidak menolak untuk memanggil satu atau dua lagi individu yang dinamakan di dalam akuan bersumpah berkenaan.

“Jika dirasakan perlu, kami akan panggil nama disebut di dalam akuan bersumpah berkenaan,” katanya.

Terdahulu, pada Isnin lalu Muhammed Yusoff hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadapnya oleh Anwar.

Dia memberi keterangan selama tujuh jam bermula 2 petang sehingga 10 malam.

Pada Selasa lalu, dia sekali lagi dipanggil untuk memberi keterangan kali kedua di Bukit Aman.

Semalam, Presiden PKR itu hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

Beliau tiba pada 3.45 petang sebelum keterangannya diambil pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman selama satu jam 30 minit.

Susulan itu, polis kemudian melawat ke rumah Anwar untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan

'Polis hadir ke rumah Anwar'

'Anwar beri keterangan di Bukit Aman'

'Kes Yusoff Rawther: Anwar sedia beri keterangan'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 4:36 PM