Foto Hiasan
BERNAMA

DUA beranak gagal dikesan selepas didakwa mengadu enjin bot fiber mereka rosak sejak semalam kira-kira 8.2 batu nautika dari Tanjung Gelang di Kuantan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud menerusi kenyataan media hari ini berkata, mereka dikenal pasti sebagai ialah Mat Yasin Sulong, 67, dan anaknya, Shaharul Nizam, 44, yang kali terakhir dapat dihubungi pada malam tadi.

Mereka didakwa menghubungi ahli keluarga sekitar 4 petang semalam untuk meminta bantuan kerana enjin bot rosak dan menyebabkan seorang anggota keluarga terus membuat laporan polis.

“Kita mengarahkan supaya aset APMM yang berhampiran untuk ke lokasi yang diberikan mangsa, namun keadaan laut yang bergelora menyebabkan bot terpaksa berlindung.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 9.30 malam tadi selepas mangsa gagal dihubungi dipercayai kerana telefon bimbit mangsa kehabisan bateri,” katanya.

Amran berkata, setakat ini SAR yang dijalankan membabitkan aset udara APMM, selain kapal dan bot daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) dibantu nelayan tempatan.

Beliau juga memberi jaminan SAR akan diteruskan sehingga nelayan terbabit ditemui, walaupun keadaan laut yang agak teruk pada hari ini.

“Kami juga meminta nelayan untuk peka dengan perubahan cuaca dan sentiasa memakai jaket keselamatan setiap kali ke laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Amran berkata, mereka yang mempunyai masalah semasa berada di laut boleh menghubungi terus Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang yang beroperasi 24 jam ditalian 09-5717345 atau melalui MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:09 PM