Foto hiasan
Siti A’isyah Sukaimi

HARGA runcit petrol RON97, RON95 dan diesel kekal masing-masing pada RM2.64, RM2.08 dan RM2.18 seliter berkuat kuasa 12 tengah malam ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini, harga berkenaan ditetapkan bagi tempoh 14 hingga 20 Disember ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Berdasarkan pengiraan formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama masing-masing sepatutnya pada RM2.34 seliter dan RM2.32 seliter.

“Tiada perubahan bagi harga runcit petrol RON95, manakala terdapat kenaikan bagi harga runcit diesel yang berada pada paras RM2.30 seliter pada minggu lalu.

“Namun, harga runcit bagi keduanya dikekalkan pada RM2.08 dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk berkenaan, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 14 hingga 20 Disember berjumlah RM111.44 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:00 PM