Mohd Shukor Amin


POLIS akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghidupkan semula ideologi Parti Komunis Malaya (PKM) di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, beliau sentiasa membuat pemantauan dari masa ke semasa sekiranya terdapat usaha pihak tertentu yang cuba menghidupkan semula gerakan itu.

“Kita akan terus memantau dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka cuba mengucar-kacirkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sabak Bernam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

NOOR Azam Jamaludin

Noor Azam berkata, tindakan menghidupkan semula fahaman PKM dalam kalangan masyarakat hanya mengancam keselamatan negara.

“Negara kita sudah aman, janganlah ada pihak cuba memporak-perandakan dan mengambil kesempatan terhadap ketenteraman yang kita kecapi selama ini,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 300 orang menghadiri perhimpunan yang diadakan di sebuah kolej swasta di Kajang, Selangor, dipercayai membabitkan bekas anggota PKM.

Difahamkan, perhimpunan itu diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Sebelum ini rakyat di negara ini digemparkan dengan tindakan satu kumpulan menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang untuk memperingati Setiausaha Agung PKM, Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:24 PM