NORIHAN Manah, Aisha Najiha (tengah) menyiram air mawar di pusara ibu mereka di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda, Tenang. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


“ARWAH isteri ketika itu keluar bersama anak membeli kelengkapan persekolahan anak, semua ini tak disangka-sangka, inilah takdir dan saya reda,” kata Azhar Kassim, 40.

Isteri Azhar, Norihan Manah, 44, maut akibat kecederaan kepala dalam kemalangan di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan selepas Proton Perdana dipandunya merempuh sebuah Proton Saga FLX dalam kejadian kira-kira 4 petang, kelmarin.

Arwah Norihan ketika itu dalam perjalanan ke Bahau, Negeri Sembilan untuk membeli kelengkapan persekolahan anak Aisha Najiha Azhar, 13, sebelum kemalangan berlaku.

Aisha Najiha yang juga pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan, terselamat dan hanya cedera di hidungnya.

Azhar berkata, keluarganya reda dengan kehilangan arwah isteri yang juga Guru Kelas Fardu Ain (KAFA) Sekolah Agama Rakyat di Palong 12 dan 13, Negeri Sembilan.

“Arwah kerap berjaga hingga lewat malam sejak kebelakangan ini untuk menyiapkan ‘tesis’ Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di sebuah institusi pengajian tinggi swasta,” katanya ketika ditemui di FELDA Tenang di Labis, hari ini.

Menurutnya, Aisha Najiha yang juga anak bongsu daripada dua beradik bersama arwah membuat perancangan untuk membeli kelengkapan persekolahan di bandar Bahau sejak beberapa minggu lalu.

“Ketika insiden berlaku, saya menerima panggilan daripada telefon isteri, namun ia dilakukan seorang lelaki yang memaklumkan anak serta isteri terbabit kemalangan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian saya terkejut apabila diberitahu isteri maut dalam kejadian itu.

“Sejak mendirikan rumah tangga 19 tahun lalu, arwah memang suka memandu termasuk untuk perjalanan jauh dan amat berhati-hati ketika di jalan raya. Tidak sangka semua ini berlaku,” katanya.

Katanya, selain sedih dengan kehilangan isterinya itu, dia terkilan apabila arwah tidak sempat menamatkan pengajian untuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam.

Jenazah selamat disemadikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Tenang dengan kehadiran kira-kira 200 saudara mara dan kenalan, semalam.

Selain Aisha Najiha, anak sulung Azhar, Ameer Nazry Azhar, 17, penuntut Kolej Vokasional Port Dickson dan menjalani latihan praktikal di Seremban, selain seorang lagi anak perempuan Norihan Manah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:51 PM