Dr Mahathir melawat Ladang Baladna di Doha hari ini. FOTO Bernama
Anwar Hussin


TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat pengeluar produk tenusu terbesar di Asia Barat, Baladna Food Industries (Baladna), yang terletak di Al Khor, Doha.

Baladna yang sudah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Felcra Bhd (FELCRA) di Kuala Lumpur Oktober lalu, bakal membangunkan ladang tenusu terbesar di Malaysia menjelang 2021.

Perdana Menteri melakukan lawatan dua jam di ladang tenusu itu dengan diiringi Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Baladna, Ramez Al Khayyat.

Turut sama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ladang berkenaan menempatkan 20,000 lembu tenusu dengan merekodkan kapasiti pengeluaran tahunan lebih 100 juta liter.

Ladang tenusu itu diwujudkan secara besar-besaran selepas sekatan ekonomi dikenakan terhadap Qatar oleh Arab Saudi dan beberapa negara lain pada 2017.

Sekatan ekonomi itu menyebabkan Qatar sedar untuk tidak lagi bergantung kepada negara lain terutama berhubung produk makanan yang menyebabkan mereka menghasilkan sendiri produk tenusu.

Kini Baladna menjadi produk susu terbesar di Asia Barat di kawasan seluas 2.4 juta meter persegi.

Sementara itu, laporan akhbar sebelum ini menyatakan FELCRA mensasarkan pengeluaran kira-kira 50 juta liter susu setahun sekali gus mampu menampung keperluan tenusu domestik menjelang tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusi FELCRA, Datuk Nageeb Wahab berkata, kerjasama itu bertujuan menggandakan pengeluaran susu segar Malaysia sejajar dengan pelaksanaan Agenda Jaminan Makanan Negara.

“Menerusi kerjasama itu, FELCRA menyediakan kawasan bersesuaian untuk penyediaan ladang manakala Baladna menawarkan keperluan infrastruktur teknologi dan membekalkan lembu tenusu yang diimport.

“Setakat ini, FELCRA sedang mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi dan strategik untuk dibangunkan antaranya di wilayah tengah dan utara di Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 7:39 PM