Siti Zubaidah dan Roslan bersama penerima sumbangan di PKNS hari ini. FOTO Sairien Nafis
Norzamira Che Noh


TENAGA Nasional Berhad (TNB) meneruskan usaha membantu golongan memerlukan dengan penyerahan tujuh unit rumah menerusi Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada asnaf yang layak hari ini.

Menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu, TNB juga membantu melunaskan baki pembayaran tunggakan pemilik rumah berjumlah RM226,925.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata, buat julung kalinya TNB mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Menerusi kerjasama ini, TNB bersama PKNS mengenalpasti golongan asnaf dan selepas mendapat pengesahan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), kita akan menjelaskan semua bayaran tertunggak rumah yang mereka diami.

“Selain itu, kita akan turut menaik taraf, membaiki seterusnya mengembalikan unit itu kepada pemilik seperti rumah baru.

“Kita memperuntukkan RM50,000 untuk setiap unit rumah dan hari ini kita serahkan tujuh unit rumah yang sudah siap dibaiki kepada pemiliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Program Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) peringkat Selangor di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar.

Roslan berkata, PBJ diadakan setiap tahun dan kebiasaannya TNB akan mengenalpasti rumah untuk dibina bagaimanapun dengan kerjasama PKNS tahun ini, pihaknya dapat mengenalpasti penduduk miskin bandar yang tinggal di rumah PKNS.

“Terima kasih kepada PKNS kerana kita berjaya membaiki tujuh unit rumah ini dan berharap jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Siti Zubaidah berkata, PKNS berbesar hati dengan kerjasama dan sumbangan yang dihulurkan TNB atas kesudian membantu pembeli rumah PKNS yang kurang berkemampuan dalam melunaskan baki pembayaran.

“Penerima sumbangan ini adalah golongan asnaf fakir miskin yang disahkan dan berhak menerima bantuan LZS.

“Semoga bantuan yang dihulurkan dapat memberikan keselesaan kepada penerima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 7:50 PM