Bot gentian kaca dua nelayan yang mengalami kerosakan enjin. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


SELEPAS 24 jam gagal dikesan, dua nelayan yang dilaporkan hanyut selepas bot gentian kaca dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin semalam ditemui selamat hari ini.

Kedua-dua mangsa, Shaharul Nizam Mat yasin, 44, dan Mat Yasin Sulong, 67, ditemui bot nelayan lain yang kebetulan melalui kawasan itu pada 5 petang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama (M) Amran Daud berkata, mereka dijumpai di kawasan 11 batu nautika dari lokasi bot dilaporkan rosak di perairan Tanjung Gelang di sini.

“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuantan menerima maklumat dua nelayan itu ditemui selamat dan bot mereka ditunda bot nelayan tempatan ke jeti Tanjung Api.

“Susulan penemuan kedua-dua mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan 5.30 petang tadi,” katanya.

Dalam kejadian 4 petang semalam, bot nelayan yang dinaiki dua nelayan itu mengalami kerosakan enjin dan gagal dikesan selepas itu.

Difahamkan nelayan itu keluar ke laut pada 8 pagi dan melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan 8.2 batu nautika dari Tanjung Gelang.

Kedua-duanya sempat menghubungi dan memaklumkan kejadian itu kepada isteri masing-masing sebelum gagal dihubungi kerana dipercayai telefon bimbit mereka kehabisan bateri.

Dalam pada itu, Amran menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam SAR itu termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Kuantan dan nelayan tempatan.

Pihaknya juga menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan dan peka dengan perubahan semasa cuaca setiap kali ke laut bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Maritim Malaysia sentiasa bersedia untuk memberi bantuan tanpa mengira waktu dan orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang yang beroperasi 24 jam di talian 09-5717345 atau melalui MERS 999 jika berlaku kes kecemasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 10:00 PM