Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra dengan rakan-rakan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (kiri) selepas perbarisan tamat latihan di RMAS. FOTO Bernama
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menjejakkan kakinya ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst (RMAS), London hari ini mengembalikan kenangan ketika baginda menjalani latihan di akademi lebih 40 tahun lalu.

Al-Sultan Abdullah yang menjalani latihan di akademi itu dari 1978 sehingga 1979, ditauliahkan oleh Ratu Elizabeth II pada 1980.

Lawatan hari ini menjadi lebih manis apabila Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut melangkah masuk dalam perbarisan berdaulat, yang menandakan berakhirnya latihan ketenteraan anakanda baginda di akademi sama.

Terdahulu sebaik tiba, Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disambut Komandan RMAS, Mejar Jeneral Paul Nanson.

Al-Sultan Abdullah memakai pakaian seragam tentera kemudiannya diberi penghormatan untuk menerima tabik hormat perbarisan.

Majlis bermula dengan pemeriksaan perbarisan oleh Sophie, Countess of Wessex.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Muhamad Muiz Muzammil Mukhtar adalah antara 242 pegawai kadet yang ditauliahkan pada majlis itu.

RMAS adalah salah satu daripada akademi tentera di United Kingdom dan pusat latihan tentera British.

Turut hadir pada majlis itu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) Datuk Mohamad Sadik Kethergany dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kini berada di UK untuk lawatan khas sehingga 16 Disember ini.

Lawatan khas ke UK adalah lawatan keempat Al-Sultan Abdullah selepas lawatan khas Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lalu sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 12:19 AM