TETAMU menjamu selera biarpun banjir (kiri). Urusan memasak dilakukan di kawasan lebih tinggi (kanan). FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


MESKIPUN kawasan rumah digenangi air, sepasang pengantin di Kampung Chokro di Simpang Renggam tetap meneruskan kenduri perkahwinan, hari ini.

Pada majlis itu, Izat Samsudin, 28 dan isterinya, Siti Zaleha Satiman, 27, juga tidak dapat menggayakan busana songket kerana hujan.

Bapa pengantin lelaki, Yusuf Jaafar, 52, berkata, air mula naik kira-kira 3 pagi tadi selepas hujan tanpa henti sejak jam 4 petang semalam.

Menurutnya, ia menyebabkan kawasan memasak nasi dan lauk ditenggelami air.

Berikutan itu, mereka terpaksa memindahkan tempat memasak ke tempat lebih tinggi kerana air naik setinggi kira-kira 0.5 meter sebelum mulai turun sehingga 0.3 meter.

“Melihat keadaan air yang agak deras, kami terpaksa menghubungi pihak andaman untuk memastikan pelamin serta tempat makan beradab dibuka supaya ia tidak dihanyutkan air.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua jamuan siap dimasak sebelum waktu jamuan bermula jam 11 pagi tadi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

IZAT Samsudin, 28 dan isterinya, Siti Zaleha. FOTO Adnan Ibrahim

Yusuf dan isterinya, Midah Simon, 50, berkata, walaupun gembira majlis berjalan lancar, mereka agak sedih kerana ia tidak boleh sempurna.

Sementara itu, Izat dan Siti Zaleha ketika ditemui berkata, majlis itu bakal menjadi kenangan paling bersejarah buat mereka.

“Kami ingin berterima kasih kepada semua tetamu yang hadir walaupun tempat makan digenangi air.

“Terima kasih juga kepada semua ahli keluarga, jiran serta rakan yang banyak membantu pada majlis ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 4:04 PM