MUHAMMAD Zaim Zazam bersama ibu, Nurunaini dan bapa tiri, Jefri yang sentiasa memberikan dorongan kepadanya untuk bergelar huffaz. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Noor Hidayah Tanzizi


“MAK selalu pesan sebelum mula mengaji sedekahkan pahala kepada arwah ayah (Zamzam Amiruddin) yang menjadikan saya lebih bersemangat untuk menghafal al-Quran,” kata Muhammad Zaim Zamzam.

Muhammad Zaim, 17, adalah antara lapan pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Qiraat Addin 2 Parit, Seri Iskandar, yang berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran yang diraikan pada majlis konvokesyen bersama pelajar lain di Seri Iskandar, hari ini.

Katanya, dia mengambil masa tiga tahun 11 bulan untuk menghafal semua juzuk al-Quran berbekalkan usaha dan dorongan daripada ibunya, Nurunaini Zakaria, 50, dan bapa tiri, Jefri Lod, 50-an.

“Saya bercita-cita mahu menjadi huffaz sejak berusia 12 tahun dan setahun selepas itu memulakan pengajian di maahad ini dan tamat hafalan pada November tahun lalu.

“Sememangnya bukan mudah tetapi yang penting mesti ada kesungguhan, minat, saling bekerjasama untuk menyemak bacaan dan menjaga hubungan baik dengan ibu bapa serta guru yang dapat membantu memudahkan hafalan,” katanya ketika ditemui di Seri Iskandar, hari ini.

Katanya, selepas tamat 30 juzuk, dia mengambil program `pra syahadah’ iaitu membaca juzuk satu hingga juzuk lima sekali gus tanpa melihat al-Quran dan tanpa sebarang kesalahan.

“Setiap hari kami akan menghafal al-Quran dalam masa waktu wajib enam jam dan saya akan menambah dua jam pada waktu lapang selepas mengulang kaji pelajaran.

“Dalam tempoh hafalan banyak membawa perubahan seperti lebih rajin selain kehidupan juga teratur dan saya berhasrat sambung belajar di Mesir selepas ni.

“Dalam gembira ada rasa sayu kerana dapat menghafal semua juzuk dan mudah-mudahan ini dapat membantu arwah ayah yang meninggal dunia pada usia 42 tahun akibat sakit buah pinggang ketika saya berusia sembilan tahun,” katanya yang berasal dari Batang Kali, Selangor.

Seorang lagi huffaz, Khairul Syazwan Mohd Wira,19, berkata dia mengambil masa enam tahun sembilan bulan untuk mengingati kesemua juzuk.

“Walaupun mengambil tempoh yang lama tetapi saya rasa berbaloi selepas mengharungi pelbagai dugaan yang akhirnya dapat menghafal kesemua juzuk,” katanya yang kini sedang belajar di sebuah universiti.

Sementara itu, Pengerusi maahad, Mohd Alwi Mohd Isa berkata, konvokesyen itu adalah julung kali diadakan sejak 20 tahun penubuhan maahad bagi meraikan pelajar khususnya lapan huffaz berkenaan.

“Secara tidak langsung majlis ini dapat memberi dorongan serta semangat kepada pelajar lain selain lapan huffaz supaya lebih maju selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 4:41 PM