KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“SEBELUM kejadian, saya terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat rumah jiran saya sudah ‘terbelah’ dua akibat dihempap kren terbabit,” kata Yunita Jefri, 34.

Yunita adalah ibu kepada bayi, Mohd Raihan Anik Mutatom berusia tiga bulan cedera akibat kren runtuh yang turut menyebabkan tiga individu lain cedera di Jalan 2/4A, Bandar Baru Sentul di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia yang baru sahaja pulang dari kerja, berborak dengan jirannya di luar kawasan rumah sewa mereka sambil mendokong Mohd Raihan.

“Selepas itu saya meletakkan Mohd Raihan di bahagian ruang tamu rumah jiran dan saya pulang pulang ke rumah.

“Namun saya terkejut sebaik sahaja mendengar bunyi dentuman kuat. Ketika itu, saya sangat bingung dan tak boleh melihat apa-apa sebelum suami bertindak mengambil anak yang tersekat di bawah runtuhan zink,” katanya.

Yunita berkata, anaknya kini baru sahaja selesai menjalani pembedahan di bahagian kaki di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Anak saya baru sahaja keluar daripada bilik pembedahan di bahagian kaki, lutut termasuk disimen, manakala kepalanya juga terpaksa dijahit kesan kejadian berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, empat individu termasuk seorang bayi lelaki berusia tiga bulan cedera selepas sebuah kren di tapak pembinaan tumbang sebelum menghempap sebuah rumah dan sebuah kereta.

Bomba yang tiba kira-kira 12 minit kemudian mendapati sebuah kren dari tapak pembinaan di seberang jalan tumbang serta melintangi jalan.

Semua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di HKL.

Berita berkaitan

Kren tumbang: Pemaju tak ikut SOP

Empat termasuk bayi cedera kren tumbang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:03 PM