BOMBA menyelamatkan kucing terperangkap dalam banjir di Kampung Sungai Rambai, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Mary Victoria Dass


KULAI menjadi daerah kelima terjejas banjir di Johor akibat hujan lebat berpanjangan, sejak petang semalam.

Jurucakap sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, ia selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Sungai Siam dibuka di daerah itu bagi menempatkan 41 mangsa.

“PPS itu dibuka sejak 1.45 tengah hari tadi,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, 21 PPS sudah beroperasi di Johor yang menempatkan 1,364 mangsa banjir.

“Ia menunjukkan bilangan mangsa banjir di negeri ini meningkat berbanding 265 mangsa, pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, daerah lain yang terjejas adalah Kota Tinggi, Mersing, Kluang dan Segamat.

“Selain Kulai, setakat ini, sembilan PPS beroperasi di Kota Tinggi membabitkan 619 mangsa; empat PPS di Mersing (388 mangsa); enam PPS di Kluang (219 mangsa) dan satu di Segamat (97 mangsa),” katanya.

Sementara itu, banjir di Johor menyebabkan lima laluan di Kota Tinggi dan Mersing ditutup bagi semua kenderaan.

Jalan ditutup termasuk di Batu 18, Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Kelompok dan Ladang Bukit Payung di Kampung Tunjuk Laut.

Di Mersing, jalan ditutup adalah Jalan Tenggaroh 3-Mawai, Kota Tinggi- Sedili dan Jalan Endau Batu 12-Rompin.

Tiga laluan hanya dibuka untuk kenderaan berat di Mersing termasuk Jalan Tenggaroh-Kota Tinggi, Simpang PLKN dan Jalan Mersing Endau.

Sementara itu, tiga laluan dibuka semula untuk semua kenderaan adalah Jalan Mawai-Bukit Samsu berhampiran Lembaga Getah Malaysia (LGM), Jalan Mawai-Sedili dan Jalan Kampung Sungai Lebam-Desaru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:38 PM