DR MAHATHIR ketika berucap di Forum Doha 2019. FOTO Bernama
Anwar Hussin


TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan sekatan Amerika Syarikat terhadap Iran melanggar Piagam Bangsa-bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak menyokong sekatan sehala oleh Amerika Syarikat terhadap Iran.

“Malaysia dan negara lain kehilangan pasaran yang besar akibat sekatan terhadap Iran.

“Sekatan hanya boleh digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengikut piagam,” katanya ketika berucap di Forum Doha 2019 yang diadakan di Doha, hari ini.

Dr Mahathir sebelum itu menerima Anugerah Forum Doha yang disampaikan oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Perdana Menteri adalah pemimpin pertama yang menerima anugerah daripada Forum Doha.

Bulan lalu, Amerika Syarikat mengumumkan sekatan terhadap sektor pembinaan Iran dan perdagangan membabitkan empat bahan yang digunakan pihak tentera atau program nuklear negara itu.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, amat penting bagi semua negara bekerjasama dan saling mempelajari antara satu sama lain mengenai isu yang boleh memberi kesan kepada cara mereka menghadapi dunia.

Ketika berucap di forum berkenaan, yang bertajuk ‘Reimagining Governance in a Multipolar World’ dari perspektif Malaysia, Perdana Menteri berkata tidak ada negara yang boleh hidup secara terasing dan Malaysia tidak mencari negara sekutu, sebaliknya memerlukan rakan kongsi dan negara sahabat.

“Kita berada pada tahap yang mana negara perlu mempunyai hubungan merentasi spektrum yang luas.

“Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak hidup dalam unipolar mahupun dalam dunia bipolar.

“Kita hidup di dunia multipolar, tidak ada negara hegemonik, tetapi hubungan saling berkaitan yang bergerak dalam pelbagai arah.

“Dalam erti kata lain, ia boleh digambarkan sebagai integrasi kepelbagaian dan kreativiti di kalangan budaya, negara dan ekonomi di dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata, semua negara perlu mengakui hakikat yang hidup secara ‘terasing’ adalah sesuatu yang mustahil, dan kemajuan komunikasi menjadikan sempadan negara jiran boleh ditembusi.

“Negara yang masih percaya pada hegemoni akan hanya mewujudkan perbalahan, ketegangan dan ketidakstabilan.

“Oleh itu, dunia multipolar perlu digabungkan dengan integrasi yang lebih baik dalam kalangan negara rakan dan sahabat, di samping diplomasi berterusan pelbagai hala di arena global,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan yang Malaysia mengutamakan mencari rakan kongsi dalam kalangan negara tetangga.

Katanya, dunia hari ini berhadapan dengan peningkatan kebimbangan terhadap kemampanan pertumbuhan ekonomi global dalam menghadapi cabaran kewangan, politik, sosial dan alam sekitar yang semakin mencabar.

“Di Asia Tenggara, 10 negara memutuskan untuk bekerja sebagai perkumpulan yang hebat dan hasilnya adalah kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 6:55 PM